Covid-19: Pendidikan Citra Malaysia

作者: Muhammad Azri Hisyam bin Farizan

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penularan wabak COVID-19. Disebabkan itu, berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah menyebabkan penutupan sektor pendidikan. Namun masih ada institusi pendidikan yang tidak membenarkan pelajar untuk pulang berikutan kes di Malaysia semakin mencanak naik. Oleh itu, sesetengah institusi pendidikan tinggi tidak membenarkan pelajarnya untuk pulang. Disebabkan inilah, terbentuk satu pakatan atau jalinan hubungan dengan pelajar pelbagai kaum di kampus. Pendidikan citra Malaysia merujuk kepada dunia pendidikan yang mempunyai kepelbagaian budaya dan kaum. Saya sendiri merasai pengalaman manis ini kerana di sebalik penularan wabak ini, terdapat hikmah disebaliknya. Saya yang sebelum ini tidak pandai bergaul dengan kaum lain, kini sudah mesra dengan mereka disebabkan penularan wabak Covid-19. 

Pertama kali berinteraksi dengan pelajar kaum lain iaitu Kaum Cina dan Kaum Iban adalah pada hari pendaftaran kursus di kampus. Ketika itu tidak dapat digambarkan perasaan malu, risau, takut dan resah ketika mahu berbual dengan mereka kerana ini merupakan pertama kali saya bersembang dengan pelajar kaum lain kerana sebelum ini sekolah  saya tidak ada pelajar selain Kaum Melayu. Disebabkan berlakunya penularan Covid-19 ini yang menyebabkan kami ‘terkandas’ di kampus telah menyebabkan kami semakin bermesra antara satu sama lain. Jika sebelum ini, saya hanya mempunyai sahabat daripada kaum Melayu, kini saya mempunyai sahabat dari kaum Cina, kaum India dan kaum Iban. Lebih menarik, mereka telah menjadi rakan sekelas saya. Mulai saat itu, hubungan antara kami semakin erat seperti sebuah keluarga yang bahagia.

Kerjasama antara pelajar pelbagai kaum bertambah erat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pelbagai pihak. Contohnya, pertandingan mendeklamasikan pantun sempena Bulan Dekad Bahasa yang memerlukan pemantun daripada pelbagai kaum. Ketika pertandingan tersebut, pemantun yang terdiri daripada kaum Melayu, kaum India, kaum Cina dan Kaum Iban duduk bersama-sama untuk berbincang mengenai pantun tersebut. Terserlah keharmonian dan kemesraan antara kami semua. Hubungan kami semakin akrab bagai sebuah keluarga disebabkan pertandingan itu. Selain itu, kerja kursus juga telah mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kami semua. Tambahan lagi apabila berkumpulan dengan kaum lain untuk menyiapkan tugasan tersebut. Setiap hari berinteraksi dan berbincang satu sama lain untuk menyelesaikan tugasan. Dengan itu, hubungan persahabatan antara kami semakin akrab.

Kini, semua pelajar sudah dibenarkan pulang dan kuliah seterusnya dijalankan secara dalam talian. Walaupun tidak berjumpa secara bersemuka namun tercalit kerinduan untuk bertemu dengan rakan-rakan. Walaupun berjumpa secara dalam talian sahaja namun keakraban kami tetap teguh ibarat Tembok Besar China. Hari Malaysia kali ini saya akan sambut dengan lebih bermakna kerana saya akan menyambut dengan masyarakat majmuk. Kalau sebelum ini saya hanya menyambut dengan rakan-rakan kaum Melayu namun Hari Malaysia kali ini lebih bermakna kerana dapat menyambutnya bersama-sama rakan kaum yang lain. Perjuangan nenek moyang dulu yang bersama-sama tanpa mengira kaum, agama atau bangsa dapat dirasai ketika ini. Barulah saya faham perasaan menyambut Hari Malaysia yang sebenarnya. Walaupun terpaksa menyambut ketika berlakunya penularan wabak Covid-19 ini namun saya akan cuba hidupkan suasana Hari Malaysia bersama-sama rakan yang lain.

Dengan cabaran pendidikan sekarang, walaupun tidak berjumpa secara bersemuka namun kami tetap bertanya khabar. Jika seseorang tidak masuk kelas, kami akan segera menelefonnya. Jika seseorang ada masalah, kami sedaya upaya akan menolong. Ini berlaku disebabkan persahabatan kami yang semakin erat. Itulah kuasa persahabatan. Persahabatan yang akrab inilah menjadikan kami sebagai satu keluarga. Apabila berbincang bersama-sama mengenai tugasan, akan terselit kerinduan apabila menatap wajah mereka di skrin laptop. Saat-saat di kampus menjadi satu kenangan yang indah dan akan diingati sepanjang hayat. Orang tua-tua pernah berpesan, “kawan biar beribu, musuh jangan dicari”. Frasa ini akan dipegang oleh saya selama-lamanya. 

Akhir kata, disebabkan pendidikan dan disebalik penularan wabak Covid-19 ini telah menjadikan saya lebih berani untuk bertutur dengan rakan-rakan kaum lain. Keindahan sifat masyarakat berbilang kaum dapat dirasai semasa berdepan dengan pandemik ini. Dengan perpaduanlah, masyarakat dapat bersatu dan bangkit dari kekecewaan. Disebabkan penularan wabak ini, semua masyarakat tanpa berbilang kaum bersama-sama membantu satu sama lain baik dari segi kewangan, nasihat atau sebarang bentuk pertolongan. Diharapkan Malaysia akan kembali pulih seperti sedia kala supaya saya boleh bersama-sama menyambut Hari Malaysia bersama-sama rakan-rakan saya yang lain. Kalau bukan kita yang menghargai perjuangan nenek moyang kita, siapa lagi? “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

 

Berkolek sampan hingga ke pekan,

Singgah di pekan membeli peria,

Kepelbagaian kaum kukuhkan perpaduan,

Asas kemeriahan Hari Malaysia.

Copyright @ 马来西亚华校董事联合会总会
UNITED CHINESE SCHOOL COMMITTEES' ASSOCIATION OF MALAYSIA. 
Website Developed by PCball Online Sdn Bhd. Proudly with Wordpress.