Pendahuluan
Terhias laman di tepi kota,
Besi berkarat tinggalan lama,
Masyarakat aman bebas sengketa.
Perpaduan erat agenda utama.
Tatkala dunia dilanda gelombang pandemik Covid-19, ia tidak pernah menjadikan masyarakat goyah untuk bersatu hati meruntuhkan dinding korona bersama. Kepelbagaian masyarakat menyulam pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu dan cinta dengan rindu. Meneliti apa yang telah berlaku sememangnya pandemik Covid-19 telah meragut ramai nyawa di Malaysia. Pernyataan ini memang jelas dapat dibuktikan melalui sikap kerjasama masyarakat dalam menyokong program vaksinasi kebangsaan harus dijadikan contoh kepada generasi akan datang. Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup bersama sehati sejiwa ibarat “ seikat bak sirih, serumpun bak serai”. Keindahan Malaysia dicorakkan oleh kepelbagaian kaum, bahasa dan agama. Kepelbagaian yang unik ini adalah ‘harta kita’ yang akan terus subur menjalar menerbitkan keharmonian. Kepelbagaian kaum menghadiahkan variasi budaya dalam kalangan masyarakat, saling berkongsi dan menghormati adat resam masing-masing sehingga akhirnya mewarnakan Malaysia dengan kemakmuran.
Budaya dialog antara kaum, etnik, budaya atau peradaban perlu disuburkan dalam konteks negara kita untuk memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional yang merupakan kunci kelestarian kepimpinan kelompok dan budaya teras serta kelangsungan identiti negara.
Pengalaman belajar bersama di musim pandemik Covid-19
Pada lensa pemikiran saya, matlamat hidup bersama dalam sebuah masyarakat majmuk dan tenteram hanya tercapai apabila ada keterbukaan dan kesediaan setiap anggota masyarakat untuk belajar dan mengenali antara mereka. Pembelajaran bersama di waktu pandemik ini, saya sentiasa dikelilingi rakan-rakan yang berbeza agama, bangsa dan budaya sedikit sebanyak menjadikan saya lebih bersikap terbuka dalam segala perkara. Sikap seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dikikis sama sekali. Malahan tidak terlintas untuk saya bersikap seperti “enggang sama enggang, pipit sama pipit”. Kami sentiasa membantu antara satu sama lain ibarat aur dengan tebing terutamanya hal-hal yang melibatkan pelajaran. Perkara yang penting ialah sikap keterbukaan kita dalam memahami isu-isu semasa yang berkaitan dengan agama dan perkauman mestilah ditunjangi dengan rasa hormat dan hidup bermasyarakat agar perpaduan negara dapat dikekalkan.
Kepelbagaian kaum umpama bintang yang bersinar!
Bak kata bijak pandai, “Sahabat itu seperti bintang, tidak selalu nampak tetapi selalu ada di hati”. Begitulah keindahan dalam persahabatan. Sahabat akan selalu menghampiri ketika mana seluruh dunia menjauhkan diri kerana persahabatan itu seperti tangan dengan mata. Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis, tangan menghapusnya. Persahabatan diibaratkan seperti garpu dan sudu atau isi dengan kuku yang sama-sama melengkapkan antara satu sama lain.
Dalam mengharungi arus globalisasi serta menerajui dunia ketiga, kita seyogia memperkasakan keeratan serta perpaduan kaum di Malaysia bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan negara-negara maju. Sejak dari zaman universiti lagi, saya dikelilingi rakan-rakan yang berlainan budaya. Keakraban kami boleh diibaratkan seperti “cubit paha kiri, paha kanan terasa juga”.
Pengalaman menginap di rumah panjang
Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Iban di Sarawak tinggal bersama-sama di bawah satu bumbung. Pengalaman saya memakai baju tradisional masyarakat Iban cukup menggamit kenangan. Mereka menganggap saya seperti keluarga sendiri. Lebih indah lagi, setiap kali datang ke sini saya dibekalkan dengan beras “padi huma” yang cukup enak. Saya juga diajar menari tarian tradisional masyarakat di sini. Berpeluang untuk mempelajari alat muzik ‘sape’ oleh masayarakat ini merupakan pengalaman yang sangat berharga. Melalui pengalaman saya tinggal di rumah panjang selama empat hari tiga malam, dalam satu rumah jika dilihat bukan satu atau dua keluarga, tapi berpuluh keluarga mendiami sesebuah rumah panjang. Inilah keunikan yang ada di Bumi Kenyalang yang tidak terdapat di mana-mana. Struktur rumah panjang Iban sangat menarik. Setiap ruang bilik yang bercantum yang membentuk rumah itu sebenarnya mempunyai pecahan bahagian mengikut jumlah keluarga yang ada di rumah panjang itu. Ukhuwah persaudaraan semakin erat antara satu sama lain. Rumah panjang atau dalam bahasa Iban, rumah panjai ini pada asalnya mempunyai ciri-ciri asli yang merangkumi bahan pembinaannya. Rumah panjang ini dibahagi-bahagikan kepada bilik. Tapi bukan macam bilik tidur sebaliknya bilik itu seperti rumah. Di dalamnya ada bilik penghuni dan dapur serta ruang tamu dan makan. Antara maslahat kepada penghuni setempat dapat mengeratkan hubungan sama ada hubungan dengan komuniti mahupun dengan ahli keluarga sendiri.
Mengenali variasi adat, perayaan dan budaya mereka
Saya juga dapat mempelajari adat dan budaya masyarakat di sana. Ketika di bangku sekolah, saya hanya melihat dalam buku bacaan dan buku teks sejarah sahaja, kini dapat merasai pengalaman sendiri cukup bernilai. Mengenali budaya masyarakat daripada pelbagai kaum menjadikan saya lebih menghargai insan sekeliling dan berbangga dilahirkan sebagai anak Malaysia yang merdeka. Sesungguhnya, perpaduan antara masyarakat harus kukuh untuk negara pergi lebih jauh dalam lapangan dunia moden.
Keakraban kami diibaratkan “cubit paha kiri, paha kanan terasa juga”.
Elok tersusun kata berbisa,
Nukilan indah tinta pendeta,
Hidup bersatu tak kira bangsa,
Aman sentosa rakyat jelata.
Andai lampu diganti pelita,
Usahlah diri berhati gundah,
Walaupun berlainan budaya kita,
Semangat perpaduan tersemat indah.
Merantau jauh ke Kota Samudera,
Membeli permata hiasan Cik nyonya,
Tolong-menolong beramah mesra,
Ukhuwah persaudaraan erat selamanya.
Resipi masakan pelbagai rahsia,
Kudapan petang sebungkus laksa,
Erat perpaduan asbab manusia,
Goyah hubungan runtuhlah bangsa.
Begitulah keindahan pantun yang mampu menjelaskan keakraban persahabatan kami. Sesungguhnya, peribahasa pernah menyatakan, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” amat bertepatan sekali dalam hal ini. Perpaduan akan terbentuk dengan penuh dedikasi sekiranya semua rakyat di Malaysia sentiasa berusaha dalam merealisasikan ikatan perpaduan yang semakin hari semakin diancam perpecahan. Pada pandangan saya, kredibiliti masyarakat Malaysia sebagai masyarakat majmuk telah membuahkan inspirasi kepada negara lain dalam mewujudkan negara yang harmoni.
Kesimpulan
Berganding bahu bersama di musim pandemik Covid-19
Sebagai anak watan berjiwa merdeka, erti 64 tahun merdeka jelas terpancar apabila masyarakat di negara ini sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam memajukan nama Malaysia di seantero dunia. Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, kita terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di seantero dunia. Maka isu-isu polemik pentas siasah terus berleluasa ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Kritikan dangkal yang negatif mengenai konsep ini haruslah dikikis sama sekali. ‘Malaysia Prihatin’ adalah tema yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini. Ia melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Selain itu, ia juga mencerminkan usaha semua pihak, baik kerajaan, sektor swasta, sukarelawan dan juga rakyat secara perseorangan yang berganding bahu umpama “aur dengan tebing” dan “berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing” dalam menangani penyebaran wabak pandemik Coronavirus (COVID-19).