Pengalaman peribadi mengenai pelbagai budaya atau interaksi antara pelbagai kaum di negara ini, terutamanya dalam tempoh Covid-19.

作者: Farina Nurmelissa

Covid-19 adalah perkataan yang akan didengari pada setiap hari kerana ia merupakan sejenis wabak yang melanda seluruh dunia sehingga menjadi pandemik. Covid-19 merupakan satu kumpulan virus yang besar dan juga merangkumi virus-virus lain yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia termasuk SARS-CoV (Severe Acute Respiratory Syndrome), MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome) dan virus-virus lain.

Rakyat Malaysia sudah menempuhi pandemik ini selama dua tahun. Sudah semestinya banyak cabaran dan dugaan yang rakyat marhaen sudah tempuhi. Sepertimana yang dapat dilihat, dalam tempoh dua tahun ini ramai yang sudah kehilangan kerja kerana syarikat-syarikat dan institusi pekerjaan tidak mampu untuk menanggung kos pembayaran gaji. Ini kerana aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan seperti dahulu. Bilangan kes semakin hari semakin tinggi bak kata pepatah seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Malaysia masih dalam pelan pemulihan negara, hanya lima negeri yang sudah bergerak ke fasa 2 didalam pelan ini iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis. 

Cabaran kehidupan di waktu pendemik ini ditambah dengan norma baharu yang perlu dipatuhi mencipta jurang dalam komunikasi dan interaksi sosial. Nilai kemanusiaan diuji apabila wujudnya halangan dan ujian. Pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing mungkin lebih mudah ditutur daripada diaplikasi di waktu getir sebegini. Namun sebaliknya terjadi. Semangat perpaduan dalam kalangan berbeza kaum, adat dan budaya jelas terserlah di sebalik pendemik ini bilamana saya menyaksikan sendiri gandingan bahu penghuni di kawasan kejiranan saya membantu mereka yang terjejas.

Di kawasan kejiranan saya, Taman Sungai Kapar Indah di Klang, penduduknya yang terdiri dalam kalangan pelbagai etnik mengambil inisiatif mewujudkan ‘bank makanan’ untuk keluarga atau mana-mana individu yang terjejas akibat pandemik ini, tanpa mengira status, kaum dan agama. Bank makanan berkenaan diletakkan di pondok rukun tetangga dan surau di kawasan ini  supaya mudah diakses oleh mereka yang memerlukan. Saya membantu AJK kejiranan untuk mendapatkan bekalan-bekalan makanan dan membungkus bekalan itu ke dalam kotak untuk setiap yang memerlukan. Kami juga menyediakan makanan-makanan itu secara individu, maka mereka boleh mengambil mengikut keperluan. 

Pelbagai bentuk dan jenis bantuan dihulurkan oleh penduduk; bantuan kewangan, barangan termasuklah bantuan dari segi tenaga. Beberapa penduduk mengambil inisiatif menawarkan kemudahan pengangkutan  buat individu yang telah mendapat janji temu vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Kemudahan berkenaan ditawarkan kepada penduduk yang tidak mempunyai kenderaan atau yang tidak berdaya memandu sendiri. Inisiatif ini amat sekali memberi manfaat kepada pihak yang terjejas dan memerlukan.

Pengalaman saya menghulurkan bantuan kecil kepada seorang warga emas berbangsa India tidak akan saya lupakan. Sewaktu mendapatkan rawatan di sebuah klinik berdekatan kawasan rumah, terlihat seorang warga emas yang datang bersendirian memasuki ruang klinik. Uzur, tidak fasih berbahasa Melayu, kekeliruan dan terketar-ketar di kaunter pendaftaran. Hati saya tersentuh dan meronta ingin membantu namun agak risau untuk mendekati kerana perlu menjaga penjarakkan. Entah bagaimana, kaki saya pantas melangkah terus membantu warga emas berkenaan hingga selesai beliau mendapatkan rawatan. Benarlah kata-kata jika kita berbuat baik, sesungguhnya kita berbuat baik untuk diri kita sendiri.

Tatkala dunia sedang menelusuri arus globalisasi, amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mengekalkan identiti serta jati diri, dalam usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Malaysia sangat terkenal dengan kepelbagaian kaum dan etnik, kita sangat beruntung kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan saling memahami adat dan budaya masing-masing  walaupun dengan kehadiran pelbagai kaum.Kesantunan insan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa perlu dititikberatkan. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan keamanan dan nama baik negara terpelihara.

Kesimpulannya, berbuat baik  seperti tolong menolong dan hormat menghormati adalah perkara yang disarankan oleh seluruh agama. Dalam tempoh masa ini, macam-macam dugaan yang kita sudah lalui. Jadi semua wajib untuk mematuhi segala peraturan dan perincian yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pengambilan vaksin juga amat penting kepada negara untuk mencapai imuniti kelompok. Kepada yang sudah layak untuk mendaftar dan menerima vaksin sila bertindak sedemikian supaya kita dapat mencapai 80% imuniti kelompok dalam tahun ini dan ianya juga untuk kita melindungi anak-anak kita atau kanak-kanak yang belum layak menerima vaksin daripada wabak jahat ini. Kepada yang masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin, disarankan untuk membuat kajian sendiri dengan membaca maklumat yang sudah disediakan di aplikasi MySejahtera kerana di situ mereka sudah menyediakan fakta yang tepat mengenai vaksin dan janganlah mudah percaya dengan mesej berantai di aplikasi Whatsapp itu kerana kita tidak tahu sejauh mana kesahihannya. Mari bersama-sama berdoa untuk wabak ini cepat pergi dan semua kembali dengan keadaan yang normal dan stabil untuk semua. Saya percaya harapan kita semua sama dalam memerangi pandemik ini. 

Copyright @ 马来西亚华校董事联合会总会
UNITED CHINESE SCHOOL COMMITTEES' ASSOCIATION OF MALAYSIA. 
Website Developed by PCball Online Sdn Bhd. Proudly with Wordpress.